Dalam Islam, tahnik atau pun belah mulut merupakan satu amalan sunnah Rasulullah SAW yang sunat dikerjakan ketika seseorang anak itu lahir. Pada asasnya, bayi yang baru dilahirkan, berusia 7 hari akan disapukan air liur yang bercampur dengan sedikit kunyahan buah kurma pada lelangit mulut bayi itu.
Ia boleh dilakukan oleh ibubapa kanak-kanak itu atau dibawa ke rumah orang-orang yang dianggap soleh untuk ditahnikkan. Pada zaman Nabi Muhammad SAW, anak-anak yang lahir telah dibawa kepada rasulullah SAW untuk ditahnik oleh baginda.
Tahnik afdal dilakukan dengan buah kurma. Jika tiada kurma, boleh gunakan rutob (kurma muda). Jika tiada juga, boleh gunakan sesuatu makanan yang manis tetapi madu yang manis lebih baik daripada makanan lain. Dan jangan menggunakan makanan yang telah dimasak. Seeloknya, dibukakan sedikit mulut bayi supaya ia boleh menelan buah kurma tersebut. Tujuan tahnik mengikut ulama adalah melatih bayi untuk makan dan menguatkannya. (IbnHajar, Fath al-Bari 15/390).
Kajian sains juga menunjukkan bahawa seria rasa pada lidah (taste bud) pada bayi terhadap rasa masam dan manis telah terbentuk sejak dilahirkan. Tujuan ALLAH SAW menjadikan bayi mempunyai deria rasa pada usia yang awal ialah bagi menggalakkan mereka menikmati susu ibu mereka yang manis. Pemberian manisan di peringkat awal akan merangsangkan lagi deria rasa ini.
Dalam satu riwayat hadis, Anas bin Malik menceritakan, aku telah membawa Abdullah bin Abi Talhah ketika beliau dilahirkan kepada Rasulullah SAW ketika baginda memakai jubah (aba’ah) sambil menginaikan untanya. Lantas baginda bertanya : “Adakah kamu mempunyai buah tamar?” Aku menjawab, “ya”. Lalu aku menghulurkan beberapa biji buah tamar, dan Rasulullah s.a.w. memasukkan ke dalam mulutnya. Lalu baginda mengunyahnya kemudian membuka mulut baginda dan mengeluarkan semula tamar yang dikunyah dan diletakkan ke mulut bayi itu. Lantaran itu bayi tersebut menggerakkan lidahnya menghisap tamar tersebut. Kemudian baginda menyebut : “Yang disukai orang ansari alah tamar dan namakannya dengan nama Abdullah”. (HR Muslim 3995, Lihat al-Nawawi, Sharhsahih Muslim 7/269).
Hadis ini menunjukkan sunnah tahnik bayi yang baru dilahirkan dan ia adalah sunnah sebagaimana ijmak ulama. Ia juga menunjukkan afdal melakukan tahnik dengan buah tamar, kerana mengikut amalan rasulullah SAW kerana buah kurma adalah lembut dan manis.
Pada saintis dan doktor telah mengambil idea dari amalan bertahnik ini dalam membantu bayi yang baru dilahirkan mengurangkan rasa sakit ketika menjalani rawatan di wad NICU hospital.
Bagi ibubapa yang pernah diuji dengan bayi yang dilahirkan secara pramatang dan dimasukkan ke dalam NICU, tentu kasihan melihat bayi-bayi mereka menangis apabila dicucuk dengan jarum untuk diperiksa tahap gula dalam tubuh bayi mereka setiap empat jam. Bayangkan dalam sehari, mereka dicucuk di tapak kaki sebanyak enam kali.
Begitu juga dengan bayi yang disuntik untuk vaksinasi. Mereka hanya diberikan ubat paracetamol apabila balik ke rumah, sedangkan kesakitan pada masa dicucuk, tidak diendahkan oleh sesiapa. Bayi yang tidak menangis ketika dicucuk tidak bermakna mereka tidak merasakan kesakitan.
Kesakitan akibat disuntik dengan jarum adalah sesuatu yang realiti. Ia dapat dikesan melalui perubahan pada perlakuan dan fisiologi mereka. Selain menangis, jantung mereka akan cepat berdegup, anak mata akan membesar, pernafsan mereka menjadi laju, kepekatan oksigen dalam darah akan menurun dan mengeluarkan peluh yang lebih banyak.
Oleh itu ramai doctor yang mencadangkan agar bayi yang akan disuntik ini diberikan manisan sucrose, sama ada setelah disuntik dan sebaiknya beberapa minit sebelum disuntik. Amalan ini seolah-olah men’tahnik’ bayi yang akan disuntik.
Banyak kajian mendapati manisan sucrose yang terdapat sebagai manisan buah-buahan boleh dijadikan sebagai ubat menahan sakit (analgesic) kepada bayi. Dengan ini ubat-ubat penahan sakit yang lain seperti paracetamol dapat dielakkan.
(rujuk: Blass EM, Hoffmeyer LB. Sucrose as an analgesic for newborn infants. Pediatrics 1991;87:215-8.)
Malah buah kurma yang kaya dengan sucrose dan fructose adalah pilihan terbaik untuk dijadikan ubat penahan sakit.
Kajian seperti ini juga disokong oleh satu penulisan yang diterbitkan dalam yang diterbitkan dalam “Pakistan Armed Forces Medical Journal, 2009”manisan sucrose dapat mengurangkan rasa sakit bayi-bayi yang disuntik.
(rujuk: Shoaib Ali Khan, Mohammad Afzal, LutfullahJillani, Mehboob Sultan, MudassarHussain ‘Analgesic Effect of Sucrose observed during heel prick in healthy neonates’, Pakistan Armed Forces Medical Journal 2009)
Para saintis berpendapat bahawa mungkin rahsia kesan pemberian sucrose itu lebih kepada kesan rangsangan pengeluaran hormoneendorphins dalam tubuh bayi. Apabila bayi menikmati manisan, hormone ini yang memberikan rasa tenang, telah dikeluarkan dengan banyak.
(rujuk: Haouari N, Wood C, Griffiths G, Levene M. The analgesic effect of sucrose in full term infants: a randomised controlled trial. BMJ 1995;310:1498-500).
Namun begitu kesan penahan sakit ini bergantung kepada kepekatan sucrose yang digunakan. Semakin pekat, semakin berkesan. Selain itu ia juga bergantung kepada umur bayi itu.
Banyak kajian menunjukkan bahawa kesan penahan sakit ini sangat berkesan apabila bayi masih berumur seminggu. Manfaat sucrose ini semakin berkurangan apabila bayi telah berumur 2 minggu ke atas.
(rujuk: Allan KD, White DD, Walburn JN. Sucrose as an analgesic for infants during immunisation injections. Arch Pediatr Adolesc Med 1996;150:270-4.)
Oleh itu amalan memberikan manisan (tahnik) kepada bayi yang baru dilahirkan, dan dirawat hospital sama ada dilahirkan cukup bulan atau pramatang adalah sangat sesuai dan selamat. Ini kerana doktor tidak memberikan sebarang ubat penahan sakit kepada bayi yang dicucuk kerana bimbang kesan ubat itu terhadap organ bayi yang masih belum matang.
Saya amat berharap agar amalan ini dapat diamalkan di hospital sama ada menggunakan susu ibu atau manisan dari buah kurma yang kaya dengan sucrose.
Wallahu a’lam
Rujukan dan bacaan lain:
1.Katme AM. Analgesic effects of sucrose were known to the prophet. BMJ 1995;311:1169.
2. Gray PH, Trotter JA, Langbridge P, Doherty CV. Pain relief for neonates in Australian hospitals: a need to improve evidence-based practice. J Paediatr Child Health 2006; 42: 10-3 .
3. Thompson DG. Utilizing an oral sucrose solution to minimize neonatal pain. J Spec PediatrNurs 2005;10:3-10.
4. Haouari N, Wood C, Griffith G, LeveneM.The analgesic effect of sucrose in full term infants: a randomized clinical trial .BMJ 1995; 310: 1498-1500.
0 Response to "Tahnik dan Kebaikannya dalam Perubatan Moden"
Post a Comment