KISAH AHLI IBADAH DIPERDAYA SEORANG PEREMPUAN DAN DUA KEPING ROTI YANG MENYELAMATKANNYA DIHADAPAN ALLAH.



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Salah seorang ahli ibadah pada zaman Bani Israil selalu beribadah kepada Allah di rumah ibadah selama 60 tahun.

Suatu ketika, hujan turun dengan lebatnya sehingga bumi menjadi subur menghijau. Kemudian, ahli ibadah itu keluar dari rumah ibadahnya sambil berbisik, 'Sekiranya aku turun dari tempatku ini dan memperbanyakkan mengucap zikir tentulah kebaikanku berubah.'

Lalu ia turun dari penempatannya dengan membawa satu atau dua keping roti. Ketika ia berjalan-jalan, tiba-tiba ia bertemu dengan seorang perempuan. Lalu ia mula-mula berbual-bual dengan perempuan tersebut. Akibat terlalu asyik berbual dengan perempuan itu, ahli ibadah tadi diperdaya oleh syaitan menyebabkannya tertidur lalu berzina dengannya.

Lelaki ahli ibadah itu akhirnya telah pengsan. Kemudian apabila sedar daripada pengsan itu ia terjun ke tasik berdekatan untuk mandi. Pada masa itu datang seorang peminta sedekah yang melarat, meminta daripadanya sebahagian daripada bekalannya itu. Ahli ibadah itu menghulurkan kepadanya roti yang di bawanya. Kemudian lelaki ahli ibadah itu pun dicabut nyawanya oleh Allah SWT.

Pahala amal ibadah yang dikerjakan selama 60 tahun itu ditimbang dengan dosa perbuatan zinanya, ternyata dosa zinanya lebih berat. Kemudian satu atau dua keping roti yang diberikan kepada peminta sedekah telah ditimbang dengan amal kebaikan lelaki ahli ibadah tersebut. Hasilnya menyebabkan berat amalan kebaikannya bertambah, maka dosa lelaki tersebut diampuni Allah." (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Sahabat yang dimuliakan,
Berdasarkan kisah di atas yang diceritakan oleh Nabi SAW bahawa syaitan tidak pernah leka untuk menggoda dan menyesatkan anak Adam supaya melakukan maksiat dan dosa kepada Allah SWT. Seorang ahli ibadah yang telah suluk dan beribadah selama 60 tahun tidak mampu mengawal nafsunya ketika berhadapan dengan seorang wanita.

Itulah sebabnya kenapa Islam tidak membenarkan seorang wanita dan lelaki yang bukan mahram berdua-duaan. Perbutan menghampiri zina (takrabul zina) ini cukup jelas di firmankan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran surah al-Israk ayat 32 yang bermaksud : "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan."

Semua perlakuan dalam hubungan di antara lelaki dan wanita yang sudah akil baligh dan bukan mahram, samaada dari segi zahir atau batin dikira sebagai perbuatan zina. Apa lagi perhubungan fizikal yang lebih rapat (bercumbu-cumbun, berdua-duaan, berdansar dan berhimpit-himpitan), terutama dalam keadaan aurat terdedah.

Dalam Islam, pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita ajnabi dilarang keras kerana segala tindak tanduk dalam pergaulan itu membuka peluang kepada mukadimah zina dan seterusnya melakukan perbuatan terkutuk itu.

Betapa besarnya dosa zina sehinggakan pahala yang dikerjakan selama 60 tahun tidak akan dapat mengatasi beratnya dosa zina. Mujurlah lelaki tersebut yang diceritakan oleh Nabi SAW sempat bersedekah dengan beberapa keping roti kepada peminta sedekah yang kelaparan sebelum ajalnya sampai yang telah dapat membantu menambahkan berat amal solehnya. Oleh itu disamping kita banyak beribadah dan beramal soleh maka banyakkanlah bersedekah kerana sedekah itu dapat menambahkan berta pada mizan dan menghindarkan kemurkaan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).” (Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Sahabat yang dikasihi,
Pengajaran yang boleh diambil dari kisah di atas adalah :

1.Umat sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW  dibolehkan mengasingkan diri daripada masyarakat dan tidak mengadakan hubungan suami isteri bertujuan untuk ibadah.

2.Syaitan kadangkala berusaha menyesatkan manusia dengan memberi nasihat untuk berbuat kebaikan pada tempat yang tidak sepatutnya.

3.Digalakkan menjauhi bergaul dengan perempuan yang bukan mahram, dibimbangi ia akan dijerat oleh syaitan.

4.Melakukan zina merupakan dosa besar, (sehinggakan beribadah sepenuhnya selama 60 tahun tak dapat mengatasi beratnya dosa zina tersebut seperti kisah diatas), oleh itu jauhilah zina dan nasihatkan ahli keluarga dan sahabat handai supaya menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan terkutuk ini.

5. Amalan sedekah adalah amat dituntut oleh Islam, dan akan diberi pahala yang besar oleh Allah SWT. kepada sesiapa dikalangan hamba-hamba-Nya yang melaksanakannya dengan ikhlas.

Kredit : DR Halim

0 Response to "KISAH AHLI IBADAH DIPERDAYA SEORANG PEREMPUAN DAN DUA KEPING ROTI YANG MENYELAMATKANNYA DIHADAPAN ALLAH."

Post a Comment

KLIK PANGKAH 2 KALI UNTUK TUTUP Button Close
loading...